NBD, Hungary terus memperkukuhkan hubungan melalui peningkatan interaksi




Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said, Hernie Suliana Haji Othman






BUDAPEST, HUNGARY, Selasa, 18 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menghadiri Mesyuarat Dua Hala yang diadakan di Maria Theresa Salon, Sándor Palace, hari ini.


Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.


Pada mesyuarat tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan bertitah bahawa Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Hungary telah menikmati hubungan yang mesra dan bersahabat sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada tahun 1992. 


Hubungan tersebut diperkukuhkan melalui peningkatan interaksi, khususnya menerusi pertukaran rakyat-ke-rakyat serta kerjasama dalam rangka ASEAN–EU. Baginda berharap agar interaksi aktif antara kedua-dua Menteri Luar Negeri akan terus menyumbang kepada momentum positif hubungan dua hala dengan membuka ruang baharu untuk memperluaskan kerjasama. 


Semasa Mesyuarat Dua Hala ini, baginda merakamkan rasa berpuas hati atas penandatanganan Memorandum of Understanding on the Establishment of Bilateral Consultations sebagai satu detik penting dalam mengukuhkan lagi dialog, persefahaman dan kerjasama institusi antara kedua-dua buah negara terutama sekali membuka peluang-peluang dalam bidang pelaburan, pendidikan, tenaga dan pembangunan kapasiti, dalam mendukung usaha-usaha mempelbagaikan ekonomi NBD di luar sektor minyak dan gas.


Baginda juga bertitah melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Hungary atas penganugerahan biasiswa kepada kumpulan pertama pelajar NBD yang kini berada di Hungary bagi pengajian mereka dan seterusnya mengalu-alukan para pelajar Hungary untuk melanjutkan pengajian mereka di NBD.


Dalam memperluaskan kerjasama dalam bidang pelancongan, baginda menyambut baik kemudahan pengaturan pengecualian visa dan berharap agar pertukaran budaya, belia dan profesional dapat terus diperkukuhkan demi merapatkan hubungan rakyat kedua-dua negara.


Semasa Mesyuarat Dua Hala ini juga, kedua-dua pemimpin turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai berkepentingan bersama, termasuk perkembangan ASEAN, hubungan dialog ASEAN–EU dan penglibatan Hungary serta kemasukan bersejarah Timor-Leste sebagai Negara Anggota ASEAN Ke-11.


Baginda mengalu-alukan penyertaan Hungary pada Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN–EU Ke-25 yang akan dihoskan oleh NBD selaku Negara Penyelaras pada bulan April 2026. Manakala mengenai perubahan iklim, tegas baginda bahawa ia memerlukan usaha bersama yang berterusan. 


Dengan penubuhan ASEAN Centre for Climate Change di NBD, pusat tersebut akan menjadi inisiatif serantau untuk menangani isu-isu alam sekitar. Sehubungan itu, baginda mengalu-alukan sokongan Hungary dalam aspek penyelidikan, perkongsian data dan pembangunan kapasiti berkaitan kemampanan.


Akhirnya, baginda turut berkenan menyampaikan undangan kepada Tuan Yang Terutama untuk mengadakan Lawatan Negara ke NBD pada masa yang akan dipersetujui bersama.


Close